Soalan:
Saya seorang ibu muda berusia 19 tahun. Saya mempunyai persoalan yang
memerlukan kepastian. Saya kini sedang hamil dan semenjak hamil, tekanan
darah saya semakin turun. Tekanan darah normal saya adalah 110/70 dan
110/60, tetapi telah mencecah kepada 90/53 dan kini 90/40. Adakah
keadaan ini membahaya atau petanda yang tidak baik? Malahan, berat saya
juga menurun sebanyak 3.7 kg. dalam masa tujuh minggu. Saya pernah pitam
dan menjadi seram sejuk dengan tiba-tiba. Saya juga selalu hampir pitam
apabila ingin berdiri ketika sedang duduk atau baring. Keadaan ini
kerap berlaku. Mohon keterangan lanjut daripada yang pakar. Segala
maklum balas, saya dahului dengan ucapan setinggi terima kasih. Selamat
berpuasa.
-Nabila-
Jawapan:
Nabila,
Ketika mengandung, tubuh ibu menyediakan suasana persekitaran yang
selamat di samping memberi nutrisi/pemakanan kepada bayi yang sedang
membesar di dalam kandungannya.
Oleh yang demikian, seorang wanita yang mengandung akan mengalami
perubahan fizikal dan fisiologi yang dramatik, termasuklah yang
melibatkan sistem peredaran darah atau tubuh.
Perubahan sistem peredaran tubuh yang mencirikan proses mengandung
normal adalah disebabkan oleh vasodilatasi (penambahan diameter pembuluh
darah, khususnya arteri) periferal.
Semasa mengandung, tekanan darah adalah lebih rendah akibat perubahan hormon yang menyebabkan saluran darah mengembang.
Salur-salur darah juga tidak mengalami kontraksi/pengecuta n secepat
mahupun secekap sebelum mengandung sebagai suatu tindak balas kepada
perubahan gaya atau kedudukan tubuh.
Oleh sebab itu, seseorang yang berdiri dengan cepat tidak memberi masa
secukupnya untuk sistem peredaran melakukan penyesuaian, seterusnya
tidak cukup darah dan oksigen sampai ke otak dan ibu yang mengandung itu
akan berasa pitam.
Semasa hamil, jantung akan bekerja mengepam darah kepada rahim dan bayi
dalam kandungan dengan lebih kuat. Pengeluaran kardiak/berkaitan jantung
bertambah dari seawal lima minggu kehamilan.
Jumlah darah yang dipam oleh jantung meningkat 45 peratus apabila janin
berusia 24 minggu. Denyutan jantung meningkat 30 peratus.
Denyutan nadi boleh meningkat dari kadar 60 ke 70 denyutan seminit
sebelum mengandung kepada 80 ke 90 denyutan seminit semasa hamil.
Walaupun terdapat penambahan dramatik pengeluaran kardiak, tekanan darah
menurun semasa trimester kedua kehamilan dan kembali ke normal semasa
trimester ketiga.
*Pitam
Itu sebabnya kenapa wanita hamil lebih cenderung mengalami pitam semasa
trimester pertama dan kedua. Apabila usia kandungan meningkat, rahim
akan membesar dan memberi tekanan kepada pembuluh darah vena kava
inferior yang bertugas mengalirkan darah dari bahagian kaki kembali ke
jantung. Kesan tekanan ini akan menghalang pengaliran darah semula ke
jantung.
Jika wanita hamil berbaring, rahim yang semakin membesar itu boleh
menghalang pengaliran darah balik ke jantung dan mengakibatkan sindrom
supine hypotensive yang berlaku pada 10 hingga 15 peratus wanita hamil.
Keadaan-keadaan yang disebutkan ini boleh menyebabkan rasa pening kepala
dan pitam.
Selain itu, rahim yang membesar akan menolak diafragma ke arah dada dan
menyebabkan wanita hamil berasa sukar bernafas. Volum plasma atau darah
meningkat 50 peratus dari seawal enam minggu kehamilan untuk memenuhi
keperluan janin. Komponen cecair dalam salur darah meningkat dengan
lebih banyak lagi berbanding sel-sel darah merah pembawa oksigen.
Akibatnya, wanita hamil akan menjadi anemik, yang merupakan kesan yang
normal akibat perubahan fisiologi kehamilan.
Walaubagaimanapun, jika zat besi tidak mencukupi dalam pemakanan ibu,
anemia akan bertambah teruk dan menyumbang kepada rasa pitam apabila
berubah kedudukan. Semasa peringkat awal kehamilan, ibu hamil kerap
mengalami loya dan muntah yang disebabkan oleh paras hormon estrogen dan
human chorionic gonadotropin (HCG) yang tinggi.
Gejala-gejala ini biasanya dirasai semasa minggu ke tujuh hingga ke
lapan kehamilan dan beransur reda semasa minggu ke-12 hingga ke-15
kehamilan. Muntah yang berlebihan dan berpanjangan pada peringkat ini
akan menyebabkan kesan dehidrasi, kebuluran, penurunan berat badan dan
mengganggu perkembangan janin yang semakin membesar. Kebuluran
menyebabkan ketosis (persekitaran berasid) yang boleh memudaratkan
janin. Oleh itu, jika keton dikesan dalam air kencing, ibu hamil perlu
dimasukkan ke dalam wad.
Rawatan hidrasi dengan cecair intravena akan memulihkan keadaan ibu
hamil. Rasa loya dan muntah boleh dikurangkan dengan mengubahsuai
pemakanan atau tabiat makan. Makan dan minum dalam kuantiti yang kecil
dan secara kerap boleh membantu. Makan sebelum berasa lapar juga dapat
membantu mengatasi masalah ini.
Biskut kraker mahupun roti bakar boleh dimakan sebelum bangun dari katil
pada waktu pagi untuk mengurangkan rasa loya dan muntah.
Minuman isotonik baik diminum kerana ia ideal untuk menggantikan garam
elektrolit yang mungkin hilang akibat muntah yang berpanjangan.
Elakkanlah dari makanan serta bau-bauan yang menyebabkan ibu hamil berasa loya.
Ibu hamil juga boleh mempraktikkan beberapa langkah yang dapat membantu mengatasi masalah-masalah atas.
* Untuk mengelakkan rasa pening dan pitam, apabila bangun dari tidur,
duduk dan tunggu selama 15 saat, kemudian gantungkan kaki dari katil dan
tunggu 15 saat, berdiri dan tunggu selama 15 saat, dan barulah mula
berjalan.
* Jika rasa pening pada siang hari, pulihkan dengan mengambil makanan
ringan, minumlah segelas jus oren sebelum bangun dari katil.
* Elakkanlah dari berdiri pada satu tempat tanpa bergerak kerana ini
menyebabkan darah terkumpul di bahagian kaki. Sebaliknya, berjalan tanpa
bergerak supaya otot-otot betis dapat membantu mengepam darah semula ke
jantung.
* Untuk pening yang disebabkan oleh anemia, rawatan suplemen dengan zat besi patut diambil.
Jawapan disediakan oleh Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Dr. Kamsuraini Ibrahim.
Sumber : Utusan Malaysia